Wednesday 31 December 2014

Selamat Datang 2015

Teks: Siti Aiesyah Yahaya





Alhamdulillah, selepas 2 minggu meyepi, pagi ini Allah datangkan kesempatan untuk berkongsi sedikit pandangan berkenaan masa yang telah berlalu. Ada pandangan menyatakan, barang yang lalu jangan dikenang, tetapi hakikatnya kita perlu juga mengenang kisah lalu agar yang buruk menjadi teladan dan peringatan untuk kita memperbaiki kesilapan. Masa lalu menjadi sejarah dan sudah pasti masa yang berlalu tidak akan datang kembali. Sebab itu ada pepatah menyatakan 'ingat 5 sebelum 5'. Jom kita tengok apakah perkara tersebut.


1. Masa kita sihat sebelum sakit
2. Masa kita muda sebelum tua
3. Masa kita kaya sebelum miskin
4. Masa kita lapang sebelum sempit
5. Masa kita hidup sebelum mati.


Masa sihat sangat bernilai kerana kita dapat melakukan semua pekerjaan dengan tenaga yang paling optimum. Selalunya, nikmat sihat ini hanya kita sedari selepas kita ditimpa kesakitan, penyakit atau keadaan yang membuatkan kita tidak mampu bergerak seaktif dan selincah orang lain. Pada masa inilah, kita akan berdoa bersungguh-sungguh, spesifik dan sentiasa mengenang masa lalu. Hakikatnya, Allah uji dan berikan kesakitan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki. Walaubagaimanapun, banyak perkara mesti dilakukan untuk mendapat kesihatan yang terbaik, bukan sekadar menjalani kehidupan sehari-hari seperti biasa. Untuk mendapat kesihatan yang baik, kita mesti merencana merencana hidup dengan luar biasa. Umum mengetahui kesihatan berkait rapat dengan tabiat dan gaya hidup. Awal kehidupan, celik sahaja mata dari tidur, kesihatan diraih dengan tidak meninggalkan solat. Solat senaman yang paling luar biasa dan mengaktifkan semua cas atau ion dalam tubuh. Pernah saya terbaca dalam sebuah kajian berkenaan kebaikan solat dari segi saintifik. Allah yang menciptakan kita Maha Mengetahui kenapa solat itu diwajibkan. Kesihatan itu sesungguhnya berkait rapat dengan jiwa, hati dan qalbu. Itu pandangan saya. Selain mengamalkan pemakanan seimbang, sihat dan berkhasiat, amalkan juga pemakanan sunnah yang memang diketahui sangat baik membantu kita untuk lebih bertenaga. Topupkan dengan vitamin vitamin yang superb, kita akan menjadi lebih cergas! Semuanya dengan keizinan dari-Nya.

Masa muda sebelum tua. Bercakap soal tua, wanita biasanya paling alergik. Lihat sahaja apabila kaum ini ditanya berkenaan umur. Tidak semua suka menjawabnya. Ada yang sedaya upaya berahsia dan cuba menutup soalan dengan mengalih kepada topik yang lain pula. Haha. Saya tau taktik ini sebab banyak juga pengalaman berdepan situasi ini. Yang tidak berahsia pun ramai juga. Yang penting jiwa kita muda. Muda bermaksud sentiasa semangat, aktif dan teruja dalam menjalani kehidupan. Bukan suram, pasif dan longlai mendepani hari-hari. Hidup terlalu singkat untuk kita berkeluh-kesah. Positiflah. Kata-kata ini juga untuk diri saya. Hehe.

Masa kaya sebelum miskin. Sebut sahaja kaya, ramai mentafsirkan sebagai wang dan harta. Benar. Tetapi, ada takrifan yang lebih luas daripada  itu. Kaya jiwa, kaya akhlak, kaya senyuman, kaya peribadi. Hah. Beza kan. Kaya didunia tidak cukup sebenarnya. Ada pandangan menyatakan lebih baik miskin didunia tetapi kaya diakhirat. Tetapi, saya terfikir, bukankah lebih baik kita kaya didunia dan kaya diakhirat. Bukankah itu terbaik?
Boleh meninngikan nilai infaq dan sedekah! Boleh membantu menyebarkan dakwah! Jom kita jadi kaya didunia, dan kaya diakhirat! Sesungguhnya, kita semua sedar, kekayaan tidak akan datang bergolek. Semuanya perlukan usaha, pengorbanan dan ilmu, bukan sekadar duduk bergoyang-kaki dan bercakap dalam hati, aku nak KAYA! Oh, tidak. Itu bukan caranya. Cakap cakap tanpa ada tindakan tidak akan membuahkan hasil. Peribahasa menyatakan, bagai menunggu pohon atau pokok yang tidak berbuah. Walaupun demikian, miskin bukanlah pemutus kebahagiaan. Ada orang miskin harta, tetapi hidupnya bahagia dengan suara dan gelak tawa anak-anak. Ada orang kaya, tetapi jiwanya miskin dengan kebahagiaan hati dan sarat pula dengan kesakitan.

Masa lapang sebelum sempit. Saya pernah terbaca sekiranya kita masih mempunyai masa lapang, kita bukanlah pejuang yang sebenar. Orang yang berjuang tidak kiralah dalam arena mana pun dia berada sebenarnya tidak akan pernah mempunyai masa lapang. Hihi. Saya sangat menghargai masa senggang saya walaupun 10 minit. Terutama dengan si kecil cilik. Memandangkan apabila matahari terbit saya sudah bergerak ke tempat kerja, dan pulang selepas Asar, oh setiap waktu cuti akan cuba dimanfaatkan dengan si cilik. Setiap kali mengadap telefon atau komputer membuat tugasan, si cilik akan berada di sisi minta perhatian. Pernah satu hari, si cilik tiba-tiba menggigit tangan ini. Memang mungkin sebab giginya gatal, baru nak tumbuh dan suka menggigit (dalam masa seminggu tersebut) Allah memberi peringatan jangan asyik menghadap telefon atau komputer terutamya di saat anak menagih perhatian. Alhamdulillah. Saya lebih berhati-hati dan menghargai masa ketika bersama si cilik.

Masa hidup selepas mati. Subhanallah, Maha Suci Allah yang menghidupkan dan Dia berkuasa mematikan. Terputuslah semua perkara didunia ini melainkan tiga perkara:

- doa anak yang soleh
- sedekah jariah
- ilmu yang dimanfaatkan

Berusahalah  kita mendidik zuriat kita dengan sebaik-baik didikan, dengan mengenal ilmu yang paling asas sewaktu bayi lagi, iaitu ilmu tauhid, ilmu mengenal Pencipta. Bayi sewaktu kecil diajarkan mengenal Allah, akan lebih terdidik dan tenang jiwanya. Jauhilah perkara lagha dan hiburan yang  menceriakan tetapi sebenarnya merosak jiwa. Faham ke? Hihi. Contohnya, konsert kanak-kanak, rancangan tv mengarut dan seumpamanya. Oh tidak! Bahana apakah ini! Sebab itu, walaupun kita sudah dewasa dan merasakan kita sudah menyediakan yang terbaik untuk anak-anak, kita tidak semestinya sempurna dari melakukan kesilapan. Hadirlah seminar keibu-bapaan dan tuntutlah ilmu. Pengalaman saya melihat anak-anak yang tidak tenang jiwanya dan tidak fokus, lemah pembelajaran dan tidak kuat jiwanya menghadapi cabaran disebabkan ibu bapa dan keluarga membiarkan teknologi menguasai anak-anak. Salah sama sekali. Sepatutnya, kita yang menguasai teknologi. Gajet, televisyen dan kecanggihan yang lain perlu dikawal 200% oleh ibu bapa. Anak-anak yang tidak terasuh dan tidak matang lagi minda dan pemikirannya ini sangat mudah terikut-ikut dan meniru semua aksi dan perbuatan yang ditonton. Wahai ibu bapa, untuk mendapat anak yang soleh, kita dulu perlu berubah!

Umum kita mengetahui Allah menggandakan setiap sedekah kita. Walau  sikit atau kecilnya sumbangan kita, asal sahaja niatnya ikhlas kerana Allah, kita tidak perlu menunggu lama untuk beroleh ganjaran dari Allah. Jangan takut menghulurkan sumbangan, ganjarannya sangat besar. Apatah lagi kalau kita sumbangkan untuk agama, Subhanallah, Allah akan beri kecukupan. 

Ilmu yang dimanfaatkan adalah ilmu yang baik dan bukan ilmu yang sia-sia. Beruntunglah para ulama, murabbi dan pendidik yang ikhlas dan amanah jiwanya, ilmu yang digunakan dengan sebaik-baiknya kita sebagai penyampai ilmu tersebut turut mendapat saham dan keuntungannya diakhirat.

Saya sekadar berkongsi apa yang terlintas di hati dan semoga kita beroleh manfaatnya.

2015.
Semoga kita lebih dekat dan bertambah cinta kepada Sang Pencipta. Ayuh sama sama kita berusaha meningkatkan diri dan berubah ke arah yang lebih baik!

No comments:

Post a Comment