Friday 28 November 2014

Pengenalan Diri

Teks: Siti Aiesyah

Bismillah.

Segala puji bagi Allah, pemilik kerajaan bumi dan langit. Dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, saya anak pertama dari pasangan abah dan emak yang kini menetap di Muar. Saya dibesarkan dalam keluarga sederhana yang terdiri dari lima beradik. Saya pernah menetap di beberapa buah tempat, antaranya Kulai, Kota Tinggi, Pengerang dan Muar kerana mengikut emak dan abah berpindah demi tuntutan tugas.

Mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah rendah disebuah  perkampungan felda, kini saya menjejak bumi tersebut sekali lagi selepas 20 tahun meninggalkannya, kerana zauj (suami) anak murid emak. Siapa sangka, aturan Allah menetapkannya begitu. Pendidikan menengah saya di sebuah sekolah berasrama di Johor Bahru, dan siapa sangka juga saya bertemu 'senior' saya apabila kini kami sama-sama bertugas di sekolah yang sama.

 Saya menyambung pengajian Ijazah dalam Sains Biologi di sebuah universiti di Shah Alam. Azam saya, saya akan terus menyelongkar disiplin ilmu dalam bidang tersebut memandangkan saya sangat  berminat dengan perniagaaan yang saya sedang ceburi sekarang. Ilmu sains terutama kaitannya dengan makanan, pemakanan, kesihatan dan kecergasan diri dan minda perlu dikuasai sebaik-baiknya agar saya mampu menjadi seorang SID (pengedar) yang baik, dan bukan hanya tahu menjual tanpa memberi penjelasan yang terbaik buat pelanggan saya. Saya menetap di Shah Alam, yang merupakan sebuah bandar terbaik di Malaysia (pandangan peribadi saya) agak lama juga, tamat pengajian terus bekerja di Universiti Malaya selama setahun, kemudian menceburkan diri 3 tahun di sebuah sekolah menengah berasrama dan sekolah swasta integrasi. 

Selepas berkahwin, pernah berjauhan dengan zauj 6 bulan sebelum suami meminta agar saya berpindah mengikutnya bermastautin di Johor Bahru. Alhamdulillah, kini Allah mengurniakan permata hati Rifhan Amani (kemewahanku: ketenanganku) selepas tempoh 18 bulan menunggu. Saya juga pernah Allah uji dengan satu penyakit yang tidak pernah diduga, dan kini sudah sembuh tetapi masih dalam tempoh berjaga-jaga kerana ia beroleh berulang semula. Allah mengurniakan pengalaman 2 kali dibedah (major operation) yang saya akan kongsikan dalam blog ini, agar kita sama-sama menginsafi bahawa tujuan kita hidup di dunia ini tidak lain untuk mengabdikan diri kepada-Nya, bersabar dan reda menghadapi mehnah dan tribulasi agar kita menjadi umat dan individu yang cekal, kuat dan bersangka baik kepada-Nya. Saya juga sedang berusaha menamatkan phd dalam penyusuan bayi, dan masih berbaki 7 bulan lagi. Insya-Allah, tamat selepas Rifhan Amani berumur genap 2 tahun.

Terima kasih Allah, terima kasih abah dan emak, terima kasih suami yang kukasihi, terima kasih rakan dan taulan atas sokongan, dorongan dan pelbagai kata-kata nasihat sepanjang 30 tahun hidup di dunia ini.

Salam perkenalan, semoga Allah menautkan hati-hati kita agar sentiasa berukhwah hanya kerana-Nya.



No comments:

Post a Comment