Saturday 29 November 2014

TAK KENAL MAKA TAK CINTA

Teks: Siti Aiesyah

Hasil pembacaan daripada penulis tersohor, Ustaz Hazrizal Jamil, saya beroleh kefahaman dengan intipati yang disampaikan. Mari kita sama-sama kongsikan ilmu ini.

IBRAH
Ibrah ertinya teladan yang mengaitkan sesuatu dengan sesuatu. Setiap kisah, di cari kisah diri sendiri didalamnya. Ia dinamakan sebagai proses Ulul Albab, golongan yang mendapatkan kefahaman isi, bukan sekadar kulitnya.

Contohnya: Manusia mendapat inspirasi daripada alam ciptaan Allah dan manusia juga menyelongkar disiplin ilmu berdasarkan tanda dan kebesaran kuasa Allah.Saya sendiri perlu tekun menelaah banyak lagi ilmu yang belum diketahui. Benarlah, semakin banyak kita rajin menggali, banyak juga yang kita akan jumpa dan terasa lagi trilion ilmu yang kita tidak ketahui.

NILAI
Aqidah yang berfungsi , adalah aqidah yang membentuk pandangan hidup. Melihat kehidupan dengan pandangan hidup Islam.

Semua perkara yang kita lakukan selepas bangun pada pagi hari hingga ke malam untuk tidur semuanya ibadah, dan semuanya berkait dengan agama kita, kepercayaan kita. Jagalah dan tuntutlah ilmu dengan niat sebenar, agar jadi orang yang mengamalkan ilmu, bukan hanya menghafal ilmu tersebut.

PERUBAHAN
Kesusahan yang sama berulang kali, petanda perlu berlaku perubahan. Apa yang paling boleh diubah ialah diri kita, sikap dan tindakan kita.

Saya perlu berubah, keluar dari 'comfort zone' dan berbuat sesuatu yang dapat memberi nilai tambah dalam kehidupan orang lain. Bukanlah bermaksud kita tidak bersyukur, tetapi jika kita menggapai impian besar kaya dan berjaya, bukankah nilai infaq dan sedekah itu boleh saya gandakan nilainya? Boleh juga saya jadikan bekal hari kemudian?

DISIPLIN
Anak-anak perlu didisiplinkan. Asasnya adalah kasih sayang, bukan kebenciaan. Bertegas dalam kelembutan lebih baik daripada berkeras tanpa ketegasan.

Marcapada, cara didikan anak-anak sudah berubah. Rotan masih diperlukan walaupun ibu bapa zaman ini tidak menyukainya. Perangai dan karenah anak pelbagai, kita ibu bapa perlu menyesuaikan dan elakkan bertindak mengikut emosi, kelak merana diri. Oh, diri ini masih belajar, mudahkan kami Ya Allah.

BUDI BAHASA
Berhaluslah dalam berbicara. Ia mencerminkan tertibnya peribadi diri. Tinggi harga diri sendiri akan meninggikan penghargaan diri kepada orang lain.

Saya sendiri perlu berusaha untuk cuba berbicara dengan sebaik-baiknya. Kita punya kelemahan, tetapi perlu segera memperbaiki diri. Ya Allah, tunjukkanlah daku jalan kelembutan tetapi tegas dalam berbicara. Saya menyantuni emak sendiri, yang kerap kali meminta kami menutup mulut dan terus alih topik apabila ada  perbicaraan yang tidak enak didengar kelihatan ingin berpanjangan. Aura negatif tidak boleh sama sekali di biar berlegar, terima kasih emak! Berkawanlah dengan orang yang jiwanya positif, yang sebaliknya kita doakan kebaikan. 

No comments:

Post a Comment