Friday 5 December 2014

PUNCA SUKAR HAMIL ATAU MENGANDUNG

Teks: Siti Aiesyah Yahaya


Bismillah.



Melihatkan keindahan wajah suci di atas, setiap pasangan berkahwin sudah pastinya mempunyai keinginan untuk memperoleh zuriat. Zuriat termasuk dalam rezeki yang telah ditakdirkan oleh Allah swt. Walaubagaimanapun, sebagai seorang muslim, kita mestilah berusaha dan tidak mudah untuk berputus asa serta hanya berserah kepada takdir.

Terdapat banyak punca dan sebab seseorang itu sukar mendapat anak. Mari kita telusuri sebab-sebabnya dan cara penyelesaian serta ikhtiar yang boleh diusahakan bersama.

Kegagalan dan punca wanita tidak/ sukar hamil

1. Terdapat wanita yang mengalami masalah pada saluran fallopio. Tiub ini berfungsi untuk menghantar benih wanita dari ovari ke rahim untuk disenyawakan oleh benih lelaki (sperma). Contoh penyakit ialah jangkitan dalam pelvis, endometriosis, pembedahan pelvis dan sebagainya.

Saya berkongsi sendiri pengalaman sebagai seorang pesakit endometriosis. 3 bulan selepas berkahwin, ramai kawan-kawan menegur berat badan saya. Kami sangkakan saya hamil,"bunting pelamin", tetapi rupa-rupanya apa yang kami jangkakan meleset sama sekali. Pertama kali berjumpa doktor, doktor menjangkakan terdapat seketul fibroid yang besar dalam rahim saya. Subhanallah, siapa sangka,usia muda tetapi Allah uji dengan sesuatu yang tidak saya jangkakan. Untuk keputusan yang lebih tepat, saya berjumpa sendiri dengan dua orang doktor pakar O & G, iaitu doktor pakar sakit puan. Satu di Kluang Johor dan satu lagi di Tey Maternity Specialist, Muar. Kedua-dua doktor pakar menolak diognosis pertama dan mereka mengesahkan saya mengidap endometriosis dan terdapat dua ketumbuhan bersaiz besar dan sederhana di kedua belah rahim saya! Masya- Allah. Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu. Ingin mengetahui kisah saya menempuh cabaran getir ini? Saya akan berkongsikan dengan anda untuk kita sama-sama termotivasi!


 


                                               Ovarian cyst & endometriosis



2. Masalah ketidakstabilan hormon dalam badan. Hormon yang stabil sangat penting kepada kita untuk menghasilkan pengeluaran benih (ovum) dan menyediakan persekitaran dinding rahim yang sesuai dan terbaik dalam penempelan zigot. Jika ada masalah hormon, maka tiada ovum yang dikeluarkan atau ovum yang dihasilkan kurang berkualiti. Kualiti ovum sangat penting kerana persenyawaan memerlukan ovum yang baik yang terhasil dari ovari wanita tersebut.


Sebelum saya disahkan penyakit ini, saya merasai sendiri perubahan dalam kitaer haid saya. Sebelum ini, haid sangat tepat pengeluarannya dan lancar, tetapi, selepas berkahwin saya didatangi haid dua kali sebulan!. Masya-Allah, perasaan tidak enak yang menyelubungi diri akhirnya terjawab juga. Pada masa itu, sebelum pembedahan (major operation) dilakukan, saya mencuba pelbagai kaedah hanya untuk mengecutkan cyst dalam rahim saya. Hakikatnya, dari hari ke hari, ia makin membesar!




            Ukuran fibroid pelbagai saiz, ia berbeza dengan cyst

              Kandungan cyst juga variasi (pelbagai)


3.  Masalah serviks kerana sperma tidak dapat melaluinya. Ini berikutan ia tersumbat akibat penghasilan lendir berlebihan atau kerosakan akibat pembedahan yang lalu. Masalah ini masih boleh diatasi dengan kaedah 'intrauterine insemination' iaitu benih yang disenyawakan akan dimasukkan ke dalam rahim.

Kaedah ini biasanya dilakukan oleh pasangan berduit, tetapi harganya masih lagi murah jika dibandingkan dengan kaedah IVF atau yang lain. Pasangan yang sudah dua tahun berkahwin tetapi gagal dikurniakan zuriat boleh mencuba kaedah ini. Lakukan perbandingan harga dan dapatkan pakar terbaik! 

4. Terdapat juga punca yang tidak dapat dikenalpasti walaupun pelbagai ujian telah dilakukan. Pemeriksaan kesihatan dan kesuburan mestilah dilakukan bersama-sama suami isteri dan tidak boleh dilakukan hanya sebelah pihak sahaja. Bersabarlah dan kuatkan semangat dalam menempuh ujian Allah.


Untuk pembaca sekalian, saya sendiri menunggu hampir setahun setengah untuk mendapatkan zuriat. Tetapi, saya dapat mengenalpasti punca masalah dan berikhtiar mencari penyelesaian. Nasihat saya sebenarnya, kita tidak perlu menunggu terlalu lama sehingga dua tahun untuk mendapatkan pemeriksaan doktor. 

Doktor pakar yang merawat menyatakan saya bertuah kerana cepat mengetahui punca masalah dan tidak menunggu lama dalam mendapatkan zuriat, kerana ada kebanyakan pasangan gagal hamil hanya mengetahui punca selepas usia perkahwinan melebihi 3  tahun dan ke atas. Ayuh kawan-kawan, jangan memberi tempoh masa dalam berjumpa doktor kerana lebih cepat kita mengetahui punca gagal hamil, lebih mudah solusi yang akan kita ikhtiarkan!


Anda perlukan nasihat atau motivasi?
Hubungi saya!


Luv,
Ummuamani
     





No comments:

Post a Comment